Titipan Belasungkawa Allahyarham Dato' Haji Razali Ismail
Lihat Video
Allahyarham YB. Dato’ Haji Razali Ismail dilahirkan pada tanggal 25 Jun 1949 di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Allahyarham telah memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kuala Berang pada tahun 1956 hingga tahun 1962. Allahyarham melanjutkan pengajian peringkat menengah rendah peringkat LCE di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang dari tahun 1963 hingga tahun 1965. Allahyarham meneruskan pendidikan peringkat MCE di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Kuala Terengganu sehingga tahun 1967. Pada tahun 1968, Allahyarham telah melanjutkan lagi pendidikan peringkat HSC di sekolah yang sama dan tamat pada tahun 1969.
Pada tahun 1970, Allahyarham telah berjaya menyambung pelajaran di Falkulti Sastera Pengajian Sejarah Universiti Malaya dan memperoleh B.A. (Hons) pada tahun 1973. Pada tahun 1986 hingga tahun 1987, Allahyarham meneruskan pengajian peringkat sarjana di University of Birmingham dalam bidang “ Special Education Supervisor “. Kecemerlangan Allahyarham dalam pendidikan diteruskan lagi dengan mengikuti latihan-latihan professional di beberapa buah univeristi di luar Negara, antaranya University of Cambridge, UK (1991), University of Stanford, USA (1991), University of Wolverhampton, UK (1996), University of Cardiff, Wales (1997), University of Harvard, USA (2001 dan University of Victoria, New Zaeland (2002).
Allahyarham telah mendirikan rumahtangga dengan To’ Puan Hajah Nooraini bt. Lob Yusof dan telah dikurniakan lima orang cahaya mata. Kerjaya Allahyarham dalam kerajaan bermula pada tahun 1974 di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang sebagai guru siswazah. Pada tahun 1977, Allahyarham mula bertugas sebagai pensyarah Ilmu Pendidikan di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Kemudian, dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan dan bertukar ke Maktab Perguruan Kent, Sabah pada tahun 1983. Pada tahun 1994 bertukar ke Maktab Perguruan Pasir Panjang sebagai Pengetua dan kemudiannya pada tahun 1998 bertukar ke Maktab Perguruan Kuala Terengganu sebagai Pengetua. Kerjaya beliau terus bersinar dan pada tahun 2001 telah dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Tanggal 1.1.2003 Allahyarham telah bertukar ke Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Pengarah. Allahyarham juga telah dilantik sebagai Pengarah Perbandanan Tabung Pendidikan Negara. Dari sinilah Allahyarham memperjuangkan usaha memartabatkan wang pendidik khasnya pensyarah di Maktab Perguruan. Landasan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran yang dijawat Allahyarham telah dijayakan sepenuhnya apabila hakikatnya hari ini maktab perguruan telah dinaik taraf sebagai Institut Pendidikan Guru dan semua warganya mendapat manfaat. Dalam ertikata yang lain Allahyarham berjaya memecahkan ruyung dan hari ini warga pendidik di Institut Pendidikan Guru merasai sagunya. Realitinya Allahyarhamlah yang merealisasikan kebenaran pepatah “ Kalau tidak dipecahkan ruyung manakah dapat sagunya “.
Kecederungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan Allahyarham memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan dan politik. Antaranya Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Darul Iman, Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Terengganu, AJK Biro Pendidikan UMNO Malaysia, Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Kuala Terengganu, Pengerusi Sektor Pendidikan BNBBC, mewakili kerajaan Malaysia ke Persidangan Ahli Parlimen OIC di Istanbul dan UNESCO, Paris dan Geneva.
Sepanjang tempoh perkhidmatan Allahyarham, beberapa anugerah telah diterima seperti Anugerah Khidmat Cemerlang pada tahun 1988, 1992, 1997, 2002 dan Tokoh Guru Negeri Terengganu 2007. Beliau telah menerima anugerah kebesaran dari DYMM Sultan Terengganu, PJK (1982), SMT (2002), KMN (2002) dan DPMT (2004)
Sesungguhnya kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh semua rakyat amnya dan warga pendidikan khasnya. Jasa dan pengorbanan Allahyarham umpama “ Permata dicelahan belantara “ yang kekal sinaran sehingga hari ini dan selamanya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan solihin.